Dr Dzulkefly Ahmad
KUALA LUMPUR - Petronas digesa menjelaskan secara terperinci objektif syarikat itu sama ada meningkatkan komuniti perniagaan Bumiputera atau membuka perniagaannya secara langsung kepada syarikat asing.
Menurut Pengarah Penyelidikan Pas, Dr. Dzulkefly Ahmad, penjelasan tersebut perlu berikutan program pembangunan vendor (VDP) yang diwujudkan Petronas bagi membantu syarikat-syarikat Bumiputera, didakwa cuba dilenyapkan secara perlahan-lahan.
“Dalam tahun 2010, ketika Tan Sri Shamsul Azhar mengambil alih kepimpinan Petronas, masih ada 30 vendor di bawah program VDP yang mempunyai tenaga kerja sehingga 10,000 yang terdiri dari Bumiputera.Tetapi hari ini, hanya 11 sahaja yang tinggal,” katanya pada sidang media di Pejabat Agung Pas, semalam.
Katanya, kewujudan dua program baharu iaitu Global Frame Agreement (GFA) dan Master Price Agreement (MPA), dilihat sebagai salah satu punca utama menyebabkan banyak syarikat tempatan tidak mendapat hak seperti sebelum ini.
Tambah beliau, jika ada dakwaan mengatakan banyak syarikat di bawah VDP tidak berdaya saing, maka Petronas selaku badan berwajib perlu mencari alternatif lain menyelesaikan perkara tersebut.
Dalam sidang media yang sama, Felo Penyelidikan Pas, Hafiz Jamal berkata, program VDP tersebut dilihat kurang berjaya kerana pelbagai penyelewengan dan ketidaktelusan telah dilakukan oleh Petronas sendiri.
Posting Komentar